TENGKU HASSANAL IBRAHIM ALAM SHAH
Titah Perutusan Diraja
Dengan nama Allah Subhanahu Wata’ala, Tuhan Yang Maha Penyayang lagi Maha Mengasihi, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, ahli keluarga, sahabat-sahabat serta seluruh pengikut Baginda sekalian.
Alhamdulillah, saya bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah izin-Nya, saya dapat menzahirkan titah perutusan diraja dalam Buku Laporan Tahunan 2024 Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Kuantan ini.
Setinggi-tinggi tahniah ingin saya zahirkan kepada pihak pengurusan dan semua ahli jawatankuasa yang terlibat dan bersungguh-sungguh menerbitkan buku ini.
Harapan Seri Paduka Ayahanda saya menggunung tinggi untuk melihat semua peringkat pengurusan masjid di negeri Pahang menggalas amanah dan tanggungjawab dengan sehabis baik seperti yang telah dititahkan sewaktu titah perasmian Masjid Kampung Pantos, Lipis pada 25 Mac 2024 dan Masjid Baharu Kampung Tekal, Temerloh pada 29 Mac 2024 yang lalu.
Dengan ini, saya berharap Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Kuantan akan terus kekal cemerlang dari segi tadbir urus, menjadi pusat sehentian untuk memperkembangkan syiar Islam secara perkasa dan jaya seterusnya menjadi masjid contoh yang terbaik kepada seluruh masjid di negeri Pahang.
Pelaporan ini memenuhi elemen signifikan untuk memperlihatkan sisi profesionalisme dalam aspek tadbir urus dan tatakelola masjid yang unggul dan cemerlang dari semasa ke semasa. Maka, pelaporan tahunan ini semestinya dijadikan panduan oleh pihak pengurusan dan pentadbiran masjid-masjid lain di negeri Pahang untuk membentangkan aktiviti, laporan kewangan dan aspek pengurusan lain yang berkaitan.
Malah, saya juga berhasrat untuk melihat semua masjid di negeri Pahang dapat diurus dan ditadbir serta diimarahkan dengan sebaik-baiknya supaya terus utuh menjadi nadi kepada penyatuan ummah dan kecemerlangan umat Islam di negeri Pahang Darul Makmur.
Mengakhiri titah, semoga kita bersama-sama dilindungi dan dikurniakan limpah rahmat keafiatan serta sentiasa diberkati Allah Subhanahu Wata’ala.
Sekian.